Followers

Monday, December 29, 2008

BABAK KEEMPAT- PEMBAHARUAN DAN PEMBANGUNAN


Kegiatan Kelab Melayu Buloh Kasap antara lainnya ialah mengadakan permainan bola billiard, catur dan muzik menggunakan alat-alat muzik seperti gambus, biola dan gong rebana. Dalam tahun yang sama juga sebuah bangunan baru sekolah melayu Buloh Kasap yang siap dibina atas tapak tanah kerajaan di tepi stesen keretapi Buloh Kasap mulai di buka atas usaha desakan beliau.

Dato Abdullah Mahat membesarkan rumah kediamannya. Lantai simen rumahnya telah dipecahkan dan digantikan dengan batu marmar yang dibeli dari Siak Indonesia. Seorang gadis dari Pengkalan Rama Peringgit Melaka bernama Mariam bt Mohamad Taha merupakan isteri Dato Abdullah yang ke empat. Dato Abdullah memperisterikan gadis dari Peringgit itu pada awal tahun 1917 semasa beliau berumur kira-kira 41 tahun. Walaupun sibuk dengan kerja-kerja sosial nya Dato Abdullah Mahat sentiasa meluangkan masa untuk kerja tani nya. Syawal bin Karon menjadi kerani ladang getahnya dan Yaakub bin Arshad sebagai ketua kuli (Mandor). Dato Abdullah Mahat sering mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pembantu nya itu. Dato Abdullah Mahat mempunyai banyak minat. Selain daripada mempunyai minat dalam hal-hal yang berkaitan dengan agama, beliau juga berminat dalam lapangan lain seperti kebudayaan, kesenian dan juga sukan. Ini dapat dibuktikan dengan penglibatannya dalam lapangan-lapangan tersebut secara aktif. Pada tahun 1917, Dato Abdullah Mahat mula mengembangkan kesenian melayu kepada penduduk-penduduk kampung di dalam mukim Buloh Kasap. Beliau telah menggalakkan pemuda-pemuda kampung belajar seni mempertahankan diri. Beliau bersusah payah mencari seorang guru silat untuk mengajar seni silat kepada pemuda-pemuda kampung. Sebenarnya dalam seni mempertahankan diri, Dato Abdullah Mahat pun merupakan seorang jaguh juga. Beliau pernah menuntut ilmu silat daripada Tuan Hj Abdul Rahman bin Yahya dari Batu Bara, Sumatera. Disamping belajar ilmu silat, beliau melengkapkan dirinya dengan ilmu batin. Pada mulanya berbagai-bagai mentera dan serapah jampi dipelajarinya. Mentera-mentera dan serapah jampi dipelajarinya daripada kitab-kitab lama tetapi setelah umurnya semakin meningkat dan minatnya lebih mengarah kepada hal-hal yang ada kaitan dengan agama. Segala mentera dan serapah jampi yang dipelajarinya tidak diamalkannya lagi. Beliau sedar sebaik-baik perlindungannya ialah yang datangnya dari Allah. Disamping itu beliau pernah dinasihati oleh beberapa orang guru agama supaya mengenepikan segala mentera dan mempelajari ilmu usuludin. Justeru itu ilmu mempertahankan diri yang dituntutnya itu tidak diturunkan kepada sesiapa pun walaupun kepada anak-anaknya sendiri.


Dalam lapangan muzik minatnya pun agak ketara. Beliau telah menubuhkan sebuah pasukan pancaragam. Ahli-ahlinya terdiri daripada pemuda-pemuda kampung. Latihan dijalankan kadang-kadang dirumahnya dan kadang-kadang di kelab melayu Buloh Kasap yang lebih dikenali dengan nama 'Kelab Semayan Setia Buloh Kasap'. Sebagai seorang penghulu mestilah disiplin perlulah diberi keutamaan. Ini lah yang dilakukan oleh Dato Abdullah Mahat. Beliau telah menetapkan jenis-jenis pakaian yang tertentu untuk anak buahnya semasa menghadiri sesuatu majlis. Semasa menghadiri majlis perkahwinan dan juga hari raya aidilfitri, kaum lelaki hendaklah berpakaian kemas iaitu memakai baju melayu selengkapnya dan bersongkok. Bagi pakaian sembahyang jumaat ialah baju telok belanga dan seluar putih dengan kain samping dalam. Pakaian semasa menghadiri orang meninggal dunia ialah baju kurung telok belanga, seluar putih dan bersamping dalam. Kaum perempuan hendaklah memakai baju warna putih kain batik dan bertudung kain sarung melitupi kepala. Dimana juga istiadat pihak lelaki diwajibkan memakai songkok dan tidak dibenarkan memakai pakaian yang bukan kebangsaan kecuali ketika ada hal yang tidak dapat dielakkan diwajibkan tutup kepalanya dengan sapu tangan disimpul setiap penjurunya.

Diceritakan Dato Abdullah Mahat pernah memarahi orang-orang perempuan yang dijumpainya tidak berpakaian kemas dan tidak menutup aurat tidak kira orang perempuan itu anak dara atau isteri orang. Bukan saja dalam soal pakaian ketegasan Dato Abdullah Mahat tentang disiplin boleh dilihat dalam hal-hal yang lain-lainnya. Di satu majlis keramaian seperti di majlis perkahwinan Dato Abdullah Mahat selalu mengingatkan pekerja-pekerja yang merupakan anak buahnya di sesuatu majlis supaya bersopan santun semasa melayani para jemputannya. Sesiapa yang di dapati menghisap ROKOK akan ditegahnya dikhalayak ramai. Semasa membawa hidangan dan mencedukkan nasi ke dalam pinggan para jemputannya, mestilah dari sebelah kanan. Tetamu yang datang lewat mestilah disapa dengan ucapan assalamualaikum dan membawa ke tempat duduk dengan segera. Tetamu tidak boleh dibiarkan berdiri dan mencari tempat duduknya sendiri.

Dato Abdullah pernah menubuhkan sebuah pasukan bolasepak di mukim Buloh Kasap. Pemainnya dipilih dari pemuda-pemuda kampung. Dato Abdullah sendiri yang melatih pemain-pemainnya. Pasukan Buloh Kasap merupakan pasukan bolasepak yang pertama ditubuhkan di Daerah Segamat. Perlawanan persahabatan dengan pasukan-pasukan dari tempat lain sering diadakan malah Dato Abdullah Mahat pernah menyertai pasukan-pasukan dari luar negeri seperti pasukan dari Singapura untuk mengadakan perlawanan bola secara persahabatan.

Friday, December 26, 2008

BABAK KETIGA- DATO ADBULLAH MAHAT DITAWARKAN JAWATAN PENGHULU

Atas kesedaran yang beliau berasal dari keluarga susah, Dato Abdullah cuba mengumpul wang sedikit demi sedikit sejak ia mula bertugas sebagai mata-mata. Pada 1909, hasil daripada wangnya yang terkumpul itu, beliau dapat membeli tanah luasnya 37 ekar terletak di kampung Tandong, Buloh Kasap berhampiran landasan keretapi yang pada masa itu baru siap dibina.
Pada tahun 1910, semasa umurnya meningkat ke 35 tahun, Dato Abdullah pun berkahwin dengan isterinya yang ke dua bernama Sirom bt Adam, berasal dari kampung Kuala Paya Buloh Kasap. Setelah berkhidmat dalam lapangan polis selama lebih kurang 17 tahun, akhirnya Dato Abdullah Mahat mengambil keputusan untuk bersara dan mencuba nasib dalam lapangan pertanian dan perniagaan pula pada masa itu beliau sudah pun mempunyai 2 orang isteri dan 2 orang yang masih hidup. Beliau kemudiannya membawa keluarga nya tinggal bersamanya di rumah yang baru dibelinya.
Dalam kehidupannya sebagai orang awam, langkah pertama yang dilakukan oleh Dato Abdullah ialah untuk menyesuaikan dirinya dalam lapangan pertanian. Di samping itu, beliau juga melibatkan diri dalam bidang perniagaan. Beliau menjadi peraih getah untuk dijual di Bukit Kepong dan Muar. Pada ketika itu beliau dikenali dengan panggilan "Encik". Setengah orang pula menggelarnya "taukeh" kerana penglibatan beliau secara serius dalam bidang perniagaan sehingga akhir tahun 1912.
Semasa menjalankan perniagaaan Dato Abdullah telah mendapat ramai sahabat yang mempunyai minat yang sama dengannya. Di antaranya ialah :-
a) Pawang Kutek.
b) Kikir bin Hj. Abdul Rahman
c) Encik Karun
d) Tn. Hj. Nordin
e) Pak Maklim
f) Pak Isau
Sekitar tahun 1912 Dato Abdullah Mahat telah ditawarkan sebanyak 4 kali untuk memegang jawatan penghulu Buloh Kasap bagi menggantikan penghulu Samsu yang pada masa itu telah pun uzur dan tua. Lantaran minatnya dalam bidang perniagaan dan pertanian, Dato Abdullah menolak tawaran tersebut. Untuk memastikan usahanya dalam lapangan pertanian betul-betul membawa hasil, beliau telah membeli sebuah basikal dan seekor kuda kuning. Beliau merupakan orang melayu pertama memiliki basikal dan kuda di dalam daerah Segamat pada masa itu. Kuda dan basikal yang dibelinya itu digunakan sebagai kenderaan untuk melawat kebunnya. Berkat usaha gigihnya, perniagaannya semakin maju, hasil jualan nya yang semakin lumayan membolehkan ia membeli 2 ekor lembu jantan lagi yang diberi nama "Petrol" dan "Putih". Dato Abdullah membeli sebuah kereta lembu juga. Encik Abdul Manaf dijadikan pemandu kereta lembu dan di bayar gaji bulanan. Kereta lembu tersebut digunakan untuk mengangkut kayu api dan hasil getah untuk dijual.
Pada tahun itu Dato Abdullah bernikah dengan seorang gadis bernama Esah bt Ismail berasal dari Kampung Gelang Cincin, Segamat. Tetapi malangnya jodoh mereka tidak berpanjangan. Sebulan selepas perkahwinan Dato Abdullah pun menceraikan isterinya itu. Menjelang tahun 1913 nama Dato Abdullah semakin mashyur. Beliau dianggap satu-satunya anak melayu yang maju dalam perniagaan dan juga merupakan salah seorang anak melayu yang terkaya di Segamat. Justeru itu tidak hairan lah pada tahun 1913, sekali lagi beliau ditawarkan untuk menjawat jawatan penghulu Buloh Kasap. Tawaran ini diterima daripada Kerajaan negeri Johor melalui pegawai daerah Segamat. Cerita Dato Abdullah Mahat ditawarkan menjadi penghulu Buloh Kasap menjadi heboh di seluruh daerah Segamat lebih-lebih lagi di mukim Buloh Kasap. Masyarakat di mukim Buloh Kasap menganggap tawaran itu sebagai satu penghormatan kepada Dato Abdullah khasnya dan seluruh penduduk Buloh Kasap am nya.
Satu majlis mengambil persetujuan orang ramai terdiri daripada penduduk melayu telah diadakan di bangunan masjid lama Buloh Kasap untuk menyokong tawaran tersebut. Setelah dirujuk keputusan tersebut kepada ke Bawah Duli DYMM Sultan Ibrahim Johor, Baginda pun bersetuju melantik beliau memegang jawatan penghulu mukin Buloh Kasap. Apabila perlantikan rasmi daripada kerajaan diterima, satu majlis perarakan 100 orang kampung dan jamuan makan diperkarangan rumahnya pun di adakan. Pada tahun itu juga Dato Abdullah Mahat telah membeli sekeping tanah dusun luasnya 2 ekar dan di atas nya ada sebuah rumah limas yang belum siap dindingnya daripada seorang sahabatnya yang bekerja sebagai pegawai kerani pemungut hasil kastam bernama Encik Mohd. Salleh. Tanah tersebut letaknya suku batu daripada pekan Buloh Kasap.
Pada tahun 1914, semasa umurnya meningkat ke 39 tahun beliau membawa keluarganya berpindah ke rumah baru siap dibinanya di Buloh Kasap yang dibelinya daripada Encik Mohd Salleh. Satu majlis kenduri yang dihadiri oleh kira-kira 1000 orang disusuli dengan majlis khatam Al-Quran oleh isterinya yang kedua Sirom bt Adam telah di adakan di rumah barunya itu. Dato Abdullah sengaja mengadakan majlis khatam Al-Quran untuk memberi contoh tauladan kepada penduduk-penduduk Buloh Kasap supaya mereka lebih menitikberatkan dalam hal-hal keagamaan.
Sebagai seorang penghulu beliau perlu melawat ke kampung-kampung di bawah jagaannya, lantaran itu untuk memudahkannya bergerak beliau telah membeli sebuah motorsikal. Beliau melawat ke kampung-kampung samada dengan menunggang motorsikal atau kuda nya itu. Dato Abdullah Mahat penghulu pertama di daerah Segamat yang melawat ke kampung-kampung dengan menunggang motorsikal atau kuda. Dato Abdullah Mahat merupakan seorang tokoh yang sangat mengambil berat dalam hal-hal berkaitan dengan agama. Pada tahun 1915 beliau telah menganjurkan satu pakatan untuk membina sebuah masjid baru di Buloh Kasap. Perbelanjaan membina masjid itu adalah hasil daripada derma orang ramai dan wang nya sendiri. Pada tahun ini juga beliau telah membina sebuah kelab melayu di atas tanah berhadapan rumahnya di Buloh Kasap.

BABAK KEDUA- SEGAMAT SEKITAR TAHUN 1902

Sekitar tahun 1902, keadaan di kawasan Segamat tidaklah begitu aman dan tenteram. Sekumpulan perompak yang diketuai oleh seorang ketua yang ganas di gelar "Ketua Cempiang" telah melakukan berbagai kegiatan jenayah termasuk merompak harta benda penduduk tempatan. Melihatkan keamanan Segamat semakin tergugat, pihak berkuasa di Segamat telah mengarahkan supaya Dato Abdullah atau Kopral Abdullah ditukarkan segera ke rumah pasong Segamat. Ketika itu beliau berumur 27 tahun. Kopral Abdullah membuktikan kehandalannya lagi apabila pada suatu pagi beliau secara bersendirian telah pergi ke tempat persembunyian ketua Cempiang itu di kawasan Palong sempadan Jorak, Negeri Sembilan dan Pahang. Sekarang kawasan tersebut termasuk ke dalam kawasan Buloh Kasap, terletak kira-kira 23 batu dari bandar Segamat.
Peranannya dalam memelihara keamanan dan menumpaskan kegiatan jenayah yang berpunca dari tindakan perompak-perompak cina diketuai oleh ketua cempiang itu tidak sia-sia. Ekoran daripada kejayaannya itu, beliau pun di naikkan pangkat Sarjan. Pada tahun 1903, beliau ditukarkan ke rumah pasong Buloh Kasap. Usianya di waktu itu 28 tahun. Pada masa itu keadaan di mukim Buloh Kasap dikatakan tidak aman. Seperti juga di Segamat, penduduk Buloh Kasap sentiasa saja hidup di dalam ketakutan. Sekumpulan perompak yang menggunakan lembing dan parang sebagai senjata mereka sering mengancam penduduk kampung.
Perompak-perompak itu telah melakukan berbagai-bagai kegiatan jenayah di sekitar Buloh Kasap khasnya di enam buah kampung iaitu kampung Buloh Kasap, kampung Tedung, Telok Kelubi, Sanglang, Kuala Paya dan Sepinang. Keadaan memaksa Dato Abdullah bertindak tegas dan itu lah harapan penduduk-penduduk kampung di ke enam-enam buah kampung tersebut. Dengan bantuan orang-orang bawahannya Dato Abdullah telah berjaya memberkas beberapa orang perompak cina itu. Keadaan dapat di pulihkan seperti sediakala.
Semasa bertugas di rumah pasong Buloh Kasap inilah beliau banyak menghabiskan masa bergaul dengan masyarakat di situ. Sifatnya yang ramah dan mudah mesra itu membuatkan ia mudah mendapat kawan. Beliau juga mengambil kesempatan menunjuk ajar dan memberi pimpinan kepada penduduk kampung dalam berbagai-bagai hal. Pintu rumah nya sentiasa saja terbuka untuk orang-orang kampung datang berbincang dan meminta nasihat daripadanya.
Sebagai seorang yang berpengaruh di kawasan Buloh Kasap pada masa itu beliau tidak jemu-jemu menasihati penduduk-penduduk kampung supaya mempelajari ilmu agama di samping menggalakkan mereka menghantar anak belajar di sekolah. Begitu juga beliau amat mengambil berat tentang kebudayaan, adat istiadat dan kesenian orang melayu. Dato Abdullah mempunyai minat yang mendalam dalam lapangan pertanian dan perniagaan. Beliau bercadang apabila perkhidmatannya dalam polis tamat beliau ingin melibatkan dirinya dalam bidang pertanian dan perniagaan.
Semasa umurnya 31 tahun, iaitu dalam tahun 1906 Dato Abdullah ditukarkan ke balai polis atau rumah pasong Gemas, memegang jawatan ketua rumah pasong di sana. Dua tahun kemudian tenaganya sekali lagi diperlukan di rumah pasong Buloh Kasap dan semasa bertugas di rumah pasong Buloh Kasap ini lah beliau menghadapi berbagai-bagai cabaran. Kejadian-kejadian rompakan, jenayah dan pembunuhan merupakan kes-kes biasa yang terpaksa di hadapinya dan meminta kepada penyelesaian.
Sebagai seorang ketua rumah pasong yang berkewibawaan dan mempunyai semangat yang kental segala cabaran ini dihadapi satu demi satu dengan tenang tetapi berhati-hati. Setahun beliau dan orang-orangnya berhempas pulas bekerja untuk mengembalikan keamanan di Buloh Kasap itu.

Wednesday, December 24, 2008

PENGHULU BULOH KASAP- BABAK PERTAMA







Artikal ini adalah tulisan semula. Saya adalah cicit kepada Dato Abdullah Mahat yang tinggal di Johor Bahru. Tujuan saya menulis ialah untuk menjejaki kaum keluarga yang ada di mana-mana dan sekiranya ada maklumat-maklumat lain yang perlu ditambah dan kesilapan fakta...bolehlah menghubungi saya di talian 013-7729875. Sekali lagi saya merayu kepada semua kaum kerabat Dato Abdullah Mahat supaya menghubungi saya supaya apa yang saya lakukan dapat mengeratkan lagi tali silaturahim.
Dato Abdullah Mahat merupakan seorang tokoh penting di daerah Segamat,Johor. Walaupun ketokohannya tidaklah sebegitu kerap dan luas diperkatakan orang seperti Panglima Salleh di Batu Pahat atau Pak Lomak di Johor Bahru, namun peranan dan sumbangannya dalam memajukan masyarakat di daerah Segamat khususnya dimukim Buloh Kasap tidak boleh diperkecilkan. Disamping penglibatan dalam hal-hal sosial, Dato Abdullah Mahat boleh dianggap sebagai seorang tokoh yang LUAR BIASA yang mempunyai kebolehan ALL-ROUNDER lantaran kebijaksanaan dalam segala hal.

Dato Abdullah Mahat dilahirkan pada tahun 1875 di Kampung Sebatu, Merlimau, Melaka. Bapanya Abdul Manan Bin Abdul Samad membuat kerja-kerja kampung. Datuk lelaki sebelah bapanya berasal dari Sumatera, keturunan darah campuran darah Arab Baghdad dan Bugis. Manakala ibunya Cik Lembik berasal dari keturunan Melayu-Melaka.

Dato Abdullah Mahat mempunyai 7 orang adik-beradik. Beliau adalah anak yang kelima dan merupakan salah seorang daripada anak yang sangat dikasihi oleh kedua-dua ibubapanya. Keluarga yang terdiri daripada 9 orang ini adalah seperti berikut:

1. Timah
2. Simah
3.Sinum
4.Maryam
5.Dato Abdullah
6.Tijah
7.Mohd Salleh

Riwayat hidup Dato Abdullah Mahat sewajarnya disusur dari tahun 1892 semasa beliau berusia 17 tahun. Walaupun dibesarkan dalam keluarga yang serba kekurangan hasrat untuk menambah ilmu mulai berkobar-kobar didadanya sejak umurnya masih dalam lingkungan belasan tahun lagi. Justeru itu, setelah mendapat keizinan daripada kedua-dua ibubapanya, dengan berbekalkan satu azam dan cita-cita untuk menjadi manusia yang berpengetahuan, Dato Abdullah Mahat meninggalkan rumahnya pada suatu pagi dan berjalan ke Muar, Johor. Pada masa itu belum ada lagi jalanraya dan sungai merupakan jalan perhubungan yang penting. Jadi terpaksalah Dato Abdullah Mahat memberanikan diri menumpang perahu melalui Sungai Kesang yang pada masa itu dianggap sebagai sarang buaya.
Dalam perjalanan untuk memenuhi cita-citanya, beliau membawa 10 biji telur ayam dan seraga penuh limau nipis untuk dijual di pekan Muar. Kakaknya yang kedua Simah turut membekalkan 2 keping wang syiling (ketika itu dipanggil Dua Duit). Beliau yakin dengan hasil jualannya itu dapatlah beliau berhijrah ke Kelantan untuk menuntut ilmu agama disekolah pondok.
Nasib Dato Abdullah dianggap baik semasa sampai di Muar. Beliau telah bertemu dengan bapa saudara sepupunya bernama Pak Long Mahat. Sebenarnya beliau belum pernah bersua dengan Pak Long Mahat sebelum ini, walaupun nama bapa saudaranya sering disebut oleh kedua-dua orangtuannya.
Lantaran tidak mempunyai anak, Pak Long Mahat memujuk Dato Abdullah supaya tingggal bersamanya dirumahnya di Parit Setongkat, Muar. Takdir telah menentukan di Parit Setongkat lah selama 2 tahun berikutnya Dato Abdullah menghabiskan masanya dan menghambakan dirinya sebagai anak angkat kepada Pak Long Mahat.
Di samping mencari nafkah hidup untuk keluarganya dengan membuat kerja-kerja kampung, Pak Long Mahat sering mendapat bantuan daripada Dato Abdullah. Antaranya Dato Abdullah selalu menemani Pak Long Mahat masuk ke rimba mencari burung. Beliau juga membantu kerja mencucuk atap untuk dijual di pekan Muar. Lantaran sifatnya yang tidak berat tulang itu disamping mempunyai disiplin diri yang baik, dari hari ke hari hubungan Dato Abdullah dengan Pak Long Mahat semakin erat dan mesra.
Pak Long Mahat tidak lagi mengganggap Dato Abdullah sebagai anak angkatnya malah sebagai anaknya sendiri. Hubungan yang begitu mesra itu telah menyebabkan Dato Abdullah mengambil keputusan untuk meletakkan nama Pak Long Mahat dibelakang namanya. Dengan itu mulai dari tarikh it lah nama beliau yang asal Abdullah bin Manan ditukarkan kepada Abdullah bin Mahat.
Pada tahun 1893 semasa Dato Abdullah berusia 18 tahun seorang pegawai polis (Ketua Rumah Pasong) Pekan Muar berpangkat Sarjan datang menemui beliau dan mempelawanya untuk berkhidmat sebagai mata-mata. Sebenarnya pegawai polis itu tertarik hati melihat kelakuan Dato Abdullah yang mengikut anggapannya merupakan seorang pemuda berdisiplin dan mempunyai nilai moral yang tinggi. Beliau juga yakin Dato Abdullah akan menjadi seorang mata-mata yang berdisiplin dan dapat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi.
Pelawaan ketua polis itu meletakkan Dato Abdullah dalam dilemma. Menerima pelawaan pegawai polis itu beerti menghapuskan cita-cita nya untuk menuntut ilmu agama seperti yang dirancangkan dahulu. Tetapi setelah memikirkan kesukaran untuk mendapatkan perbelanjaan yang tetap akhirnya Dato Abdullah menerima tawaran daripada pegawai polis itu.
Manusia merancang dan Tuhan menentukan. Dengan itu pada keesokkan harinya Dato Abdullah pun melapurkan diri di Rumah Pasong di bandar Muar sebagai seorang mata-mata biasa. Beliau menerima ganjaran rm6.00 sebulan. Walaupun sudah bertugas sebagai penjaga keamanan itu, rupa-rupanya sikap "knowledge-oriented" masih ada dalam hatinya. Justeru itu beliau sempat meluangkan masa setiap hari mempelajari menulis dan membaca jawi daripada ketua rumah pasong tersebut. Anggapan yang baik ketua rumah pasong itu terhadap Dato Abdullah Mahat menjadi kehatian. Semasa bertugas Dato Abdullah memperlihatkan keupayaannya dalam menjalankan tugas dengan penuh dedikasi.
Apa juga tugas yang diberikan kepadanya dilaksanakan dengan sempurna tanpa sebarang bantahan. Mengikut satu sumber yang boleh dipercayai, Dato Abdullah telah mengangkat najis banduan di dalam tahanan di rumah pasong. Mata-mata yang lain enggan menjalankan tugas seperti itu.
Dato Abdullah amat mementingkan kebersihan. Tidak hairanlah semasa bertugas di rumah pasong bandar Muar itu kawasan rumah pasong itu di bawah jagaan nya itu sentiasa bersih. Lantaran sikapnya yang tidak memilih kerja itu disamping mengambil berat tentang kebersihan beliau kerap diberi kepercayaan untuk mengetuai sebarang tugas yang dikehendaki oleh ketua balai polis.
Pada tahun 1896 semasa usianya 21 tahun beliau pun diijabkabulkan dengan seorang gadis dari kampungnya sendiri bernama Halimah bt Kamar. Di atas kegigihannya semasa menjalankan tugas, setahun selepas mendirikan rumahtangga beliau telah dinaikkan pangkat Lans Koperal dan ditukarkan ke rumah pasong Pengkalan Bukit di Muar. Semasa bertugas di rumah pasong Pengkalan Bukit beliau telah memperlihatkan kehandalan nya dengan menangkap beberapa orang perompak berbangsa cina yang mengganas di kawasan Pengkalan Bukit antara Jorak dan Muar.
Semasa bertugas di Pengkalan Bukit itu lah Dato Abdullah dikurniakan 3 orang anak perempuan tetapi malangnya ke tiga-tiga orang anaknya itu meninggal dunia semasa kecil lagi. Peristiwa penangkapan perompak cina itu telah mengharumkan nama Dato Abdullah. Pada tahun 1901 semasa berusia 26 tahun beliau telah ditukarkan semula bertugas di rumah pasong bandar Muar setelah dinaikkan pangkat Koperal. Beberapa bulan selepas di rumah pasong Muar itu anak nya yang ke empat pun di lahirkan.