Followers

Friday, December 26, 2008

BABAK KETIGA- DATO ADBULLAH MAHAT DITAWARKAN JAWATAN PENGHULU

Atas kesedaran yang beliau berasal dari keluarga susah, Dato Abdullah cuba mengumpul wang sedikit demi sedikit sejak ia mula bertugas sebagai mata-mata. Pada 1909, hasil daripada wangnya yang terkumpul itu, beliau dapat membeli tanah luasnya 37 ekar terletak di kampung Tandong, Buloh Kasap berhampiran landasan keretapi yang pada masa itu baru siap dibina.
Pada tahun 1910, semasa umurnya meningkat ke 35 tahun, Dato Abdullah pun berkahwin dengan isterinya yang ke dua bernama Sirom bt Adam, berasal dari kampung Kuala Paya Buloh Kasap. Setelah berkhidmat dalam lapangan polis selama lebih kurang 17 tahun, akhirnya Dato Abdullah Mahat mengambil keputusan untuk bersara dan mencuba nasib dalam lapangan pertanian dan perniagaan pula pada masa itu beliau sudah pun mempunyai 2 orang isteri dan 2 orang yang masih hidup. Beliau kemudiannya membawa keluarga nya tinggal bersamanya di rumah yang baru dibelinya.
Dalam kehidupannya sebagai orang awam, langkah pertama yang dilakukan oleh Dato Abdullah ialah untuk menyesuaikan dirinya dalam lapangan pertanian. Di samping itu, beliau juga melibatkan diri dalam bidang perniagaan. Beliau menjadi peraih getah untuk dijual di Bukit Kepong dan Muar. Pada ketika itu beliau dikenali dengan panggilan "Encik". Setengah orang pula menggelarnya "taukeh" kerana penglibatan beliau secara serius dalam bidang perniagaan sehingga akhir tahun 1912.
Semasa menjalankan perniagaaan Dato Abdullah telah mendapat ramai sahabat yang mempunyai minat yang sama dengannya. Di antaranya ialah :-
a) Pawang Kutek.
b) Kikir bin Hj. Abdul Rahman
c) Encik Karun
d) Tn. Hj. Nordin
e) Pak Maklim
f) Pak Isau
Sekitar tahun 1912 Dato Abdullah Mahat telah ditawarkan sebanyak 4 kali untuk memegang jawatan penghulu Buloh Kasap bagi menggantikan penghulu Samsu yang pada masa itu telah pun uzur dan tua. Lantaran minatnya dalam bidang perniagaan dan pertanian, Dato Abdullah menolak tawaran tersebut. Untuk memastikan usahanya dalam lapangan pertanian betul-betul membawa hasil, beliau telah membeli sebuah basikal dan seekor kuda kuning. Beliau merupakan orang melayu pertama memiliki basikal dan kuda di dalam daerah Segamat pada masa itu. Kuda dan basikal yang dibelinya itu digunakan sebagai kenderaan untuk melawat kebunnya. Berkat usaha gigihnya, perniagaannya semakin maju, hasil jualan nya yang semakin lumayan membolehkan ia membeli 2 ekor lembu jantan lagi yang diberi nama "Petrol" dan "Putih". Dato Abdullah membeli sebuah kereta lembu juga. Encik Abdul Manaf dijadikan pemandu kereta lembu dan di bayar gaji bulanan. Kereta lembu tersebut digunakan untuk mengangkut kayu api dan hasil getah untuk dijual.
Pada tahun itu Dato Abdullah bernikah dengan seorang gadis bernama Esah bt Ismail berasal dari Kampung Gelang Cincin, Segamat. Tetapi malangnya jodoh mereka tidak berpanjangan. Sebulan selepas perkahwinan Dato Abdullah pun menceraikan isterinya itu. Menjelang tahun 1913 nama Dato Abdullah semakin mashyur. Beliau dianggap satu-satunya anak melayu yang maju dalam perniagaan dan juga merupakan salah seorang anak melayu yang terkaya di Segamat. Justeru itu tidak hairan lah pada tahun 1913, sekali lagi beliau ditawarkan untuk menjawat jawatan penghulu Buloh Kasap. Tawaran ini diterima daripada Kerajaan negeri Johor melalui pegawai daerah Segamat. Cerita Dato Abdullah Mahat ditawarkan menjadi penghulu Buloh Kasap menjadi heboh di seluruh daerah Segamat lebih-lebih lagi di mukim Buloh Kasap. Masyarakat di mukim Buloh Kasap menganggap tawaran itu sebagai satu penghormatan kepada Dato Abdullah khasnya dan seluruh penduduk Buloh Kasap am nya.
Satu majlis mengambil persetujuan orang ramai terdiri daripada penduduk melayu telah diadakan di bangunan masjid lama Buloh Kasap untuk menyokong tawaran tersebut. Setelah dirujuk keputusan tersebut kepada ke Bawah Duli DYMM Sultan Ibrahim Johor, Baginda pun bersetuju melantik beliau memegang jawatan penghulu mukin Buloh Kasap. Apabila perlantikan rasmi daripada kerajaan diterima, satu majlis perarakan 100 orang kampung dan jamuan makan diperkarangan rumahnya pun di adakan. Pada tahun itu juga Dato Abdullah Mahat telah membeli sekeping tanah dusun luasnya 2 ekar dan di atas nya ada sebuah rumah limas yang belum siap dindingnya daripada seorang sahabatnya yang bekerja sebagai pegawai kerani pemungut hasil kastam bernama Encik Mohd. Salleh. Tanah tersebut letaknya suku batu daripada pekan Buloh Kasap.
Pada tahun 1914, semasa umurnya meningkat ke 39 tahun beliau membawa keluarganya berpindah ke rumah baru siap dibinanya di Buloh Kasap yang dibelinya daripada Encik Mohd Salleh. Satu majlis kenduri yang dihadiri oleh kira-kira 1000 orang disusuli dengan majlis khatam Al-Quran oleh isterinya yang kedua Sirom bt Adam telah di adakan di rumah barunya itu. Dato Abdullah sengaja mengadakan majlis khatam Al-Quran untuk memberi contoh tauladan kepada penduduk-penduduk Buloh Kasap supaya mereka lebih menitikberatkan dalam hal-hal keagamaan.
Sebagai seorang penghulu beliau perlu melawat ke kampung-kampung di bawah jagaannya, lantaran itu untuk memudahkannya bergerak beliau telah membeli sebuah motorsikal. Beliau melawat ke kampung-kampung samada dengan menunggang motorsikal atau kuda nya itu. Dato Abdullah Mahat penghulu pertama di daerah Segamat yang melawat ke kampung-kampung dengan menunggang motorsikal atau kuda. Dato Abdullah Mahat merupakan seorang tokoh yang sangat mengambil berat dalam hal-hal berkaitan dengan agama. Pada tahun 1915 beliau telah menganjurkan satu pakatan untuk membina sebuah masjid baru di Buloh Kasap. Perbelanjaan membina masjid itu adalah hasil daripada derma orang ramai dan wang nya sendiri. Pada tahun ini juga beliau telah membina sebuah kelab melayu di atas tanah berhadapan rumahnya di Buloh Kasap.

No comments:

Post a Comment