Followers

Friday, December 26, 2008

BABAK KEDUA- SEGAMAT SEKITAR TAHUN 1902

Sekitar tahun 1902, keadaan di kawasan Segamat tidaklah begitu aman dan tenteram. Sekumpulan perompak yang diketuai oleh seorang ketua yang ganas di gelar "Ketua Cempiang" telah melakukan berbagai kegiatan jenayah termasuk merompak harta benda penduduk tempatan. Melihatkan keamanan Segamat semakin tergugat, pihak berkuasa di Segamat telah mengarahkan supaya Dato Abdullah atau Kopral Abdullah ditukarkan segera ke rumah pasong Segamat. Ketika itu beliau berumur 27 tahun. Kopral Abdullah membuktikan kehandalannya lagi apabila pada suatu pagi beliau secara bersendirian telah pergi ke tempat persembunyian ketua Cempiang itu di kawasan Palong sempadan Jorak, Negeri Sembilan dan Pahang. Sekarang kawasan tersebut termasuk ke dalam kawasan Buloh Kasap, terletak kira-kira 23 batu dari bandar Segamat.
Peranannya dalam memelihara keamanan dan menumpaskan kegiatan jenayah yang berpunca dari tindakan perompak-perompak cina diketuai oleh ketua cempiang itu tidak sia-sia. Ekoran daripada kejayaannya itu, beliau pun di naikkan pangkat Sarjan. Pada tahun 1903, beliau ditukarkan ke rumah pasong Buloh Kasap. Usianya di waktu itu 28 tahun. Pada masa itu keadaan di mukim Buloh Kasap dikatakan tidak aman. Seperti juga di Segamat, penduduk Buloh Kasap sentiasa saja hidup di dalam ketakutan. Sekumpulan perompak yang menggunakan lembing dan parang sebagai senjata mereka sering mengancam penduduk kampung.
Perompak-perompak itu telah melakukan berbagai-bagai kegiatan jenayah di sekitar Buloh Kasap khasnya di enam buah kampung iaitu kampung Buloh Kasap, kampung Tedung, Telok Kelubi, Sanglang, Kuala Paya dan Sepinang. Keadaan memaksa Dato Abdullah bertindak tegas dan itu lah harapan penduduk-penduduk kampung di ke enam-enam buah kampung tersebut. Dengan bantuan orang-orang bawahannya Dato Abdullah telah berjaya memberkas beberapa orang perompak cina itu. Keadaan dapat di pulihkan seperti sediakala.
Semasa bertugas di rumah pasong Buloh Kasap inilah beliau banyak menghabiskan masa bergaul dengan masyarakat di situ. Sifatnya yang ramah dan mudah mesra itu membuatkan ia mudah mendapat kawan. Beliau juga mengambil kesempatan menunjuk ajar dan memberi pimpinan kepada penduduk kampung dalam berbagai-bagai hal. Pintu rumah nya sentiasa saja terbuka untuk orang-orang kampung datang berbincang dan meminta nasihat daripadanya.
Sebagai seorang yang berpengaruh di kawasan Buloh Kasap pada masa itu beliau tidak jemu-jemu menasihati penduduk-penduduk kampung supaya mempelajari ilmu agama di samping menggalakkan mereka menghantar anak belajar di sekolah. Begitu juga beliau amat mengambil berat tentang kebudayaan, adat istiadat dan kesenian orang melayu. Dato Abdullah mempunyai minat yang mendalam dalam lapangan pertanian dan perniagaan. Beliau bercadang apabila perkhidmatannya dalam polis tamat beliau ingin melibatkan dirinya dalam bidang pertanian dan perniagaan.
Semasa umurnya 31 tahun, iaitu dalam tahun 1906 Dato Abdullah ditukarkan ke balai polis atau rumah pasong Gemas, memegang jawatan ketua rumah pasong di sana. Dua tahun kemudian tenaganya sekali lagi diperlukan di rumah pasong Buloh Kasap dan semasa bertugas di rumah pasong Buloh Kasap ini lah beliau menghadapi berbagai-bagai cabaran. Kejadian-kejadian rompakan, jenayah dan pembunuhan merupakan kes-kes biasa yang terpaksa di hadapinya dan meminta kepada penyelesaian.
Sebagai seorang ketua rumah pasong yang berkewibawaan dan mempunyai semangat yang kental segala cabaran ini dihadapi satu demi satu dengan tenang tetapi berhati-hati. Setahun beliau dan orang-orangnya berhempas pulas bekerja untuk mengembalikan keamanan di Buloh Kasap itu.

No comments:

Post a Comment